mutakhir

Teroka industri strategik

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Sitiawan: Usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan lebih ramai Bumiputera membabitkan diri dan meneroka industri strategik sebagai usahawan dalam bidang berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, satu kerangka harus digerakkan bagi memantau keberkesanan beberapa program yang sudah dilakukan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang dan industri strategik.

“Sekarang perlu ada kerangka disediakan sama ada di peringkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau badan bebas untuk membolehkan kita memantau apa kesudahannya program yang dilaksanakan sebelum ini.

“Sebagai contoh, berapa anak bangsa yang sudah dilatih dan berapa usahawan sudah dilahirkan dalam industri strategik. Ia bukan hanya dalam bidang perkapalan, aeroangkasa dan peruncitan tetapi bidang lain yang boleh diteroka,” katanya.

Beliau berkata, kerangka itu membolehkan penilaian secara mendalam dilakukan untuk memantau jika ada kelemahan di sepanjang pelaksanaan program dilakukan sebelum ini.

“Selain itu, kita juga perlu tahu bagaimana mahu menambah baik perancangan sedia ada, agar sasaran meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri strategik tercapai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelaburan Mara Berhad dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Kampus Institut Teknologi Kejuruteraan Marin UniKL (UniKL MIMET), di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Nazim Rahman, manakala UniKL diwakili oleh Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi, Profesor Datuk Ahmad Zahir Mokhtar.

Hadir sama, Pengerusi Pelaburan MARA Berhad, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UniKL, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Mohd Shafie ketika diminta mengulas mengenai MoU itu berkata, ia adalah usaha sama strategik antara Pelaburan MARA Berhad dan UniKL untuk pembangunan kilang pelajaran (teaching factory) dan program kemahiran industri bagi mendedahkan 2,000 pelajar di UniKL MIMET terhadap latihan industri sebenar di dalam kampus universiti itu.

Disiarkan pada: November 21, 2014 @ 5:09am
d