mutakhir

Laluan tenggelam

Oleh Jauhariatul Akmal Johar

Rantau Panjang : Meskipun rumah masih belum dinaiki air, kebanyakan penduduk di beberapa kampung, di sini, sudah berdepan kesan banjir lebih awal apabila laluan menghubungkan kampung mereka ditenggelami air sejak Oktober.

Malah, jalan menghubungkan Kampung Tasek Bakong dan Kampung Putat Tujuh tenggelam dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan limpahan Sungai Golok yang kini mencecah paras bahaya.

Shapie Mohamad, 50, mengakui sudah sebulan tidak menggunakan laluan itu sebaliknya memilih jalan alternatif lain untuk keluar dan masuk ke kampung.

“Walaupun Sungai Golok baru beberapa hari ini mencecah paras bahaya, jalan kampung ini sudah sebulan tenggelam disebabkan limpahan air dekat Sungai Tasi Garu.

“Antara faktor air lambat surut adalah kedudukannya di kawasan rendah menyebabkan kami menggunakan laluan alternatif untuk tempoh tiga bulan lagi, sehingga musim tengkujuh berakhir,” katanya.

Bagi Hasiah Abdullah, 64, dari Kampung Putat Tujuh, jalan kampung itu hanya akan digunakan pada musim kemarau saja dan menyebabkan mereka sudah lali dengan keadaan itu.

Katanya, ia bukan lagi masalah besar kepada penduduk kampung sepertinya kerana masih ada jalan alternatif lain untuk keluar masuk kampung walaupun jauh sedikit.

Sehubungan itu, penduduk kampung berharap jalan kampung di situ dapat dibaiki supaya lebih tinggi selain meluaskan sungai supaya tidak melimpah apabila musim tengkujuh.

Disiarkan pada: November 21, 2014 @ 5:10am
d