mutakhir

Balasan rasuah

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan menerima rasuah RM1,000 pada Mei 2011.

Sarjan Abdul Rahman Abdullah, 58, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak didapati bersalah menerima suapan daripada pengadu iaitu seorang wanita sebagai dorongan melepaskan anaknya daripada tuduhan mencuri motosikal pada 11 Mei 2011.

Wang terbabit dimasukkan pengadu ke akaun bank milik tertuduh di Maybank cawangan Bangi pada jam 5 petang hari sama.

Hakim M Bakri Abdul Majid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menyangkal fakta kes.

“Hujah pembelaan yang mengatakan fakta memihak kepada tertuduh patut diberi keutamaan oleh mahkamah berdasarkan keterangan saksi pembelaan kedua iaitu anak Abdul Rahman bahawa wang RM1,000 dimasukkan ke akaun milik bapanya bagi tujuan membaiki kereta rosak adalah tersasar.

“Ia hanya diterima jika terdapat percanggahan keterangan di antara saksi pendakwaan dan dalam situasi itu fakta memihak kepada tertuduh,” katanya ketika membacakan penghakiman secara bertulis, di sini semalam.

Selain hukuman penjara tiga tahun, M Bakri turut memerintahkan tertuduh didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, M Bakri membenarkan rayuan tertuduh yang diwakili peguam bela Azman Abdullah bagi menangguhkan hukuman berkuatkuasa semalam sehingga proses rayuan selesai.

M Bakri turut menetapkan jaminan Abdul Rahman sebelum ini RM5,000 dinaikkan kepada RM10,000.

Pendakwaan diketuai Lokman Kasim.

Tertuduh dari Taman Wilayah Selayang, Batu Caves didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Disiarkan pada: November 22, 2014 @ 5:04am
d