mutakhir

Samun RM70,000

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang : Kumpulan penjenayah Geng Camry terus mengganas apabila menjadikan seorang pengurus projek sebagai mangsa terbaru kegiatan langgar dan rompak di Lebuhraya Cheras di sini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, mangsa lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan sedang memandu kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux bersendirian.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila kenderaannya dirempuh sebuah kereta model Toyota Camry.

Menurutnya, mangsa kemudian memberhentikan kenderaannya untuk melihat kerosakan dialami.

“Bagaimanapun dua lelaki keluar dari kereta itu sebelum membelasah mangsa dengan kayu hingga terjatuh.

“Dua lagi suspek terus masuk ke dalam kenderaan mangsa sebelum melarikan pacuan empat roda itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak dapat melihat jelas nombor pendaftaran kereta penjenayah berikutan cermin matanya pecah akibat dipukul suspek.

“Mangsa kemudian menghubungi rakan untuk meminta bantuan menghantarnya mendapatkan rawatan di hospital.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa akibat kejadian itu dianggarkan lebih RM70,000. Kes ini adalah kejadian jenayah keempat berlaku dalam tempoh dua minggu di daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2014 @ 5:06am
d