mutakhir

Sebar karya klasik

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan hasil karya klasik disebarluaskan kepada masyarakat dengan pendekatan kreatif menggunakan teknologi multimedia dan digital.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil karya akan lebih menarik dan dapat menarik minat masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk membaca serta menghayatinya.

“Dalam konteks ini, elok juga kebijaksanaan yang terdapat dalam persuratan klasik kita yang kaya itu dinilai dan diungkapkan semula.

“Keupayaan mengenal dan memahami ini akan membantu dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) Datuk Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaaffar.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia dianjurkan DBP sejak 1997.

Pada majlis itu Muhyiddin menyampaikan hadiah kepada 33 pemenang berdasarkan Kategori A (Buku) yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, Kategori B (Eceran) dengan hadiah wang tunai RM2,000 dan Kategori C (Kanak-kanak dan Remaja) menerima wang tunai RM5,000.

Muhyiddin berkata, pembinaan tamadun bangsa memerlukan penghasilan karya persuratan yang membawa pemikiran tinggi.

“Para pemikir kita dulu dapat menghasilkan karya agung yang mengangkat peradaban dan tamadun tinggi bangsa dengan menggunakan nilai bahasa Melayu tinggi seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Misa Melayu,” katanya.

Kata beliau, walaupun pasaran buku ilmiah tidak seghairah buku fiksyen popular, namun karya ilmiah masih perlu dihasilkan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menyarankan DBP melaksanakan pemberian anugerah bahasa kepada Tokoh Bahasa Negara yang sama tarafnya dengan Anugerah Sastera Negara.

Ini kerana, kata beliau, karya sastera yang baik terletak pada penggunaan bahasanya yang baik dan mampu menyampaikan kisah, pesan, falsafah serta kebijaksanaan kepada pembacanya.

“Kemahiran berbahasa sama pentingnya dengan penggunaan bahasa yang baik dan berkesan kerana ahli bahasa dan ahli persuratan saling memerlukan dalam pembinaan tamadun bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2014 @ 5:14am
d