mutakhir

'Terus pimpin UMNO selagi perlu'

Tanjong Karang: “Dengan mandat yang diberikan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), saya akan memimpin UMNO selagi saya diperlukan dan hasil pertemuan saya bersama Perdana Menteri, beliau memberi garis panduan dengan meminta saya menumpukan perhatian lebih kepada anak muda, gerak kerja parti serta aktiviti turun padang,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Pada Selasa lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri berhubung teguran dan luahan rasa kecewa Najib terhadap situasi dan prestasi Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO Selangor ketika merasmikan Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 1 November lalu.

Noh berkata, dalam pertemuan empat mata selama 30 minit itu, Najib yang juga Presiden UMNO memintanya meneruskan tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor seperti biasa.

Katanya, beliau tiada halangan jika Presiden parti hendak melakukan pertukaran pemimpin di negeri berkenaan.

“Diri saya tak penting, yang penting UMNO dan BN di Selangor. Saya tidak ada halangan jika Presiden mahu membuat pertukaran (pemimpin).

“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mahu saya teruskan kepemimpinan di negeri ini,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Berkhatan Beramai-ramai Parlimen Tanjong Karang di Sungai Teram di sini semalam.

Pada majlis itu, 229 kanak-kanak mengambil kesempatan sempena cuti sekolah menyertai majlis itu beramai-ramai.

Mengulas lanjut Noh berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri menilai kepemimpinannya dari semasa ke semasa serta memberi teguran dan membuat penilaian sepanjang dirinya memimpin UMNO negeri itu.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:04am
d