mutakhir

Nenek hadiah baju Melayu

Kuala Langat: Teruja tiga cucu berusia antara tujuh dan 10 tahun mahu berkhatan, seorang nenek menghadiahkan baju Melayu merah sebagai tanda penguat semangat buat cucunya menempuh saat melangkah alam dewasa.

Bagi Tukirah Salihan, 68, walaupun ketiga-tiga cucunya bukan cucu lelaki pertama yang berkhatan, hadiah itu sebagai penghargaan buat mereka kerana berani melalui detik paling menakutkan buat kanak-kanak lelaki.

Katanya, sebaik dimaklumkan ketiga-tiga cucunya, termasuk yang berusia tujuh tahun akan berkhatan, dia risau kerana cucunya mungkin menangis disebabkan masih kecil.

“Walaupun pada mulanya berdebar, saya gembira kerana cucu saya yang kecil bagaikan ‘hero’ kerana langsung tidak merengek, malah mampu tersenyum, sedangkan abangnya berusia 10 tahun menangis kerana takut.

“Antara mereka bertiga, dia (Muhammad Izham Ramadhan Ruslan) juga yang tidak sabar-sabar untuk tunggu hari ini (semalam) dan asyik bertanya bila nak khatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana di Hospital Besar Banting, semalam.

Majlis Khatan Perdana ‘Selangkah Ke Alam Dewasa’ yang dianjurkan dengan kerjasama UMNO Bahagian Kuala Langat, Hospital Banting dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu mengumpulkan kira-kira 150 kanak-kanak dari daerah itu.

Bagi Muhammad Izham, tiada perasaan takut untuk turut berkhatan walaupun ibunya memujuk dia menangguhkan dulu niatnya.

“Buat apa nak takut, tadi (semalam) sakit sikit saja ketika doktor cucuk, lepas tu dah tak sakit.

“Nanti pun saya kena buat juga, baik buat sekarang sebab abang dan sepupu ada boleh temankan saya selain ramai kawan,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat Jefrizal Mohd Jaafar berkata, penganjuran kali kedua majlis berkhatan menjadi acara tahunan di daerah itu pada musim cuti persekolahan.

“Acara ini dilihat dapat memberikan semangat selain mewujudkan keberanian buat kanak-kanak apabila dilakukan secara beramai-ramai,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:05am
d