mutakhir

Pupuk jati diri anak muda

Kuala Lumpur: Eksplorasi Kebudayaan dan Warisan anjuran Puteri UMNO Cheras berjaya mencapai objektifnya bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan anak muda, pelajar sekolah, universiti dan penduduk setempat.

Program itu turut membantu memupuk semangat cintakan budaya dan jati diri tempatan yang kian terhakis dalam kalangan anak muda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, inisiatif menganjurkan program mengetengahkan keunikan budaya negara ini sepatutnya bermula sejak kanak-kanak.

Katanya, program seperti itu boleh menyelami seterusnya menghayati keindahan budaya dipaparkan itu, selain memupuk rasa cinta terhadap negara.

“Program ini bukan untuk kita lihat warisan lapuk, sebaliknya ini mencerminkan asal usul negara kita. Banyak rakyat negara maju yang kehilangan jati diri kerana tidak kenal asal usul mereka.

“Sebab itu, kita perlu mempertahankan keunikan budaya dan warisan di negara ini. Begitu juga soal bahasa kebangsaan yang sepatutnya dipertahankan oleh semua rakyat yang lahir di negara ini,” katanya sebelum menyempurnakan Perasmian Penutup Eksplorasi Kebudayaan dan Warisan anjuran Puteri UMNO Cheras di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:08am
d