mutakhir

RON95 mungkin RM2.27 seliter

Kuala Lumpur: Orang ramai kemungkinan dapat menikmati harga runcit petrol RON95 pada harga tiga sen lebih murah iaitu RM2.27 berbanding harga kini iaitu RM2.30 seliter jika harga purata pasaran berterusan pada paras AS$80 (RM264) sehingga akhir bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, menerusi konsep pengapungan terkawal, pengguna perlu membayar harga apungan secara bulanan berdasarkan harga purata pada bulan sebelumnya.

“Konsep pengapungan terkawal ini adalah untuk memastikan harga ini diapungkan dan dibayar pengguna. Jika harga turun, mereka bayar lebih rendah dan begitulah sebaliknya.

“Berdasarkan harga purata untuk 19 hari pertama pada bulan ini iaitu sekitar AS$80, ia akan diterjemahkan kepada harga RM2.27 sen, jika kadar (purata) berterusan sehingga akhir November, kemungkinan harga RON95 pada Disember adalah RM2.27 sen berbanding RM2.30 iaitu pengurangan tiga sen seliter,” katanya pada sidang media selepas sesi bertemu pemegang biasiswa Peneraju Skil Iltizam Animasi, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (PenerajuEdu) di Damansara Perdana, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PenerajuEdu Raja Azura Raja Mahayuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Idea Academy Nadira Yusoff.

Program Skil Iltizam membabitkan 50 peserta berusia antara 17 dan 21 tahun yang diberi latihan kemahiran enam bulan.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:10am
d