mutakhir

Gempur peneroka tanah haram

Serdang: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggempur dalang penerokaan tanah haram yang aktif pada waktu malam di Cameron Highlands.

Beliau menegaskan, terdapat laporan bahawa kegiatan yang turut membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan selama ini sering dilakukan selepas matahari terbenam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, kata beliau, susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, pasukan dari PDRM dan ATM akan dikerah ke tanah tinggi berkenaan.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain) untuk menghantar pasukan masing-masing supaya pada waktu malam kita akan membuat rondaan yang lebih menyeluruh dan kalau ada kegiatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika berucap.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Khamis lalu Sultan Ahmad Shah murka dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G Palanivel yang didapati tidak berbuat apa-apa bagi mengelak tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur berulang di pusat peranginan berkenaan.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 November lalu, mengorbankan lima nyawa dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan.

Dalam pada itu Najib berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan melawat kawasan tanah tinggi itu Isnin ini bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Saya berharap hasil lawatan dan perbincangan bersama itu, kita akan membuat tindakan yang lebih berkesan dan kelemahan dari segi penguatkuasaan selama ini akan berubah kepada satu bentuk penguatkuasaan lebih serius dan berkesan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan MAHA 2014, Perdana Menteri berkata, golongan petani di negara ini gemar dengan kaedah pertanian 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai.

Sehubungan itu beliau berkata, tanaman yang sesuai dengan konsep berkenaan ialah durian yang hakikatnya mampu menjana pendapatan lumayan golongan petani.

Beliau memberi contoh, harga durian jenis ‘Musang King’ yang amat popular dan lazat rasanya itu ialah AS$26 (RM67) sekilogram di negara seberang tambak.

Justeru, beliau menggalakkan tanaman ‘Raja Buah’ diperluaskan dan hasilnya dipasarkan di negara jiran berbanding di pasaran tempatan.

“Agrobazaar di Singapura yang saya minta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) cadangkan telah pun dilancarkan dan harga durian ‘Musang King’ di sana ialah RM67 sekilogram.

“Kita kena pastikan bekalan cukup, kualiti bertambah dan kita jadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan global. Dalam hal ini FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) boleh memainkan peranannya dengan membeli dan memasarkan tapi jangan lupa bayar pada harga berpatutan kepada petani kita,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:10am
d