mutakhir

Percikan api kipas angin

Sri Aman: Percikan api dari kipas angin yang rosak dipercayai punca letupan dan kebakaran gas dalam terowong Lombong Arang Batu Silantek, Pantu dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohamad berkata, percikan api itu berlaku di kawasan 451.6 meter dari pintu masuk dan berlaku letupan sebelum api yang terhasil daripada gas menyambar sehingga jarak 69 meter di dalam terowong.

Katanya, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Tun Tun Win , 36 dari Myanmar, Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara dan Kardianto, 38, dari Indonesia.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat, manakala yang parah dan cedera di hantar ke Hospital Umum Sarawak, Hospital Sri Aman dan Hospital Serian, selain ada yang mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pantu sebagai pesakit luar.

“Kejadian ini kali kedua berlaku dalam tempoh tiga tahun dan yang terakhir pada 30 Mac 2011 di Lombong Arang Batu Lucky Hill, Abok, Pantu, dekat sini, yang mengorbankan tiga pekerja lombong warga China,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.32 pagi.

Katanya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bersama enam anggota segera ke tempat kejadian.

“Pegawai penyiasat masih menjalankan tugas penyiasatan di tempat kejadian dan memastikan tiada kesan sampingan yang timbul dari letupan terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:13am
d