mutakhir

6 gerai di medan selera hangus awal pagi

Alor Setar: Selang dua hari selepas cebisan al-Quran dibakar seorang lelaki didakwa kurang siuman, enam gerai di medan selera Pasar Besar Alor Setar di sini, pula rosak akibat dijilat api dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, premis berkenaan tidak beroperasi berikutan semua peniaga menamatkan perniagaan sekitar jam 12 tengah malam.

Peniaga nasi ayam, Go Yet Sooi, 62, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan dihubungi rakan jam 4.30 pagi memaklumkan kejadian.

“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke kedai, namun api dipadamkan manakala peralatan seperti dapur masak dan pinggan mangkuk hangus.

“Saya memang sudah lama tidak berniaga kerana bercuti sejak sebulan lalu berikutan isteri menjalani pembedahan mata. Saya harap penjenayah terbabit segera ditahan untuk diadili,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Go, akibat kejadian, dia kerugian RM6,000.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana tiada bukti, namun berharap semua pihak dapat bekerjasama dan menghormati satu sama lain.

“Tidak guna kami bergaduh kerana kami sama-sama mencari rezeki di sini,” katanya yang berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga, Goh Wing Kim, 53, berkata, dia tiba di gerai untuk memulakan perniagaan jam 4.15 pagi dan mendapati premisnya hangus.

“Saya tidak tahu sama ada ini ada kaitan dengan kejadian pembakaran al-Quran pada Khamis lalu. Kami juga tidak menyangka kejadian seperti ini berlaku memandangkan semua peniaga tidak menyakitkan hati mana-mana pihak.

“Ini kejadian pertama berlaku sejak saya berniaga di sini 20 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata, kebakaran disedari anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada bomba dan penyelamat.

Disiarkan pada: November 23, 2014 @ 5:13am
d