mutakhir

'Jangan cantas generasi muda'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Jika sayangkan UMNO, beri peluang kepada generasi muda ke hadapan, jangan halang dan cantas mereka,” tegas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Beliau tidak mahu pemimpin dan ahli menjadikan parti sebagai batu loncatan untuk mencapai kepentingan peribadi.

Sebagai parti yang inklusif, moden, progresif dan dinamik, kata beliau, UMNO mestilah bersikap terbuka sebagai usaha menarik golongan muda menyokong seterusnya menyertai parti itu sebagai ahli.

Jika tidak, tegas beliau lagi, parti terbesar orang Melayu itu akan dicop sebagai kaku dan lesu.

“Kita tidak mahu jadi seperti parti kemerdekaan negara lain yang semuanya sudah lingkup. Hanya UMNO yang tinggal berkuasa memerintah di dunia, kerana itu peremajaan parti mesti dilaksanakan.

“Kalau nak teruskan kekuasaan, kita mesti lakukan peremajaan cari kepimpinan yang boleh dianggap ada kemampuan,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan (WP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Konvensyen sehari berkenaan dianjurkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula minggu ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, golongan muda perlu diberi panduan dan bimbingan untuk memimpin kerana mereka adalah pemimpin masa depan parti.

Kata beliau, tanggungjawab pemimpin sekarang ialah mewariskan UMNO yang lebih kuat dan berjaya.

“Bukan semua orang muda tak sokong kita, ramai sokong kita. Kita lihat ada universiti yang dulu sokongannya kurang, hari ini bertambah apabila kita usaha lebih ‘engagement’ dengan orang muda,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, rakyat kini lebih bijak menilai dengan sering membandingkan kemampuan UMNO dengan parti pembangkang.

Kerana itu, kata beliau, parti pemerintah itu perlu bijak dan kreatif menangani landskap politik baru dengan menggunapakai segala landasan yang ada termasuk media sosial untuk terjun dalam kancah masyarakat selain menjawab segala persoalan mereka.

“Pembangkang banyak tahi minyak, banyak penipuan dan mereka ini cekap putar belit. Tapi kita adalah parti yang ada agenda realistik untuk negara, Melayu dan Islam maka UMNO kena jadi juara dalam keterbukaan ini,” kata beliau.

Disiarkan pada: November 24, 2014 @ 5:10am
d