mutakhir

2 premis degil upah 15 tukang urut

Georgetown: Dua pusat urutan kaki di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini, dikesan terus beroperasi biarpun tidak mempunyai lesen, malah menggaji tukang urut warga asing tidak memiliki permit kerja sah.

Dalam operasi bersepadu bermula 12 tengah malam kelmarin, pemeriksaan dilakukan di dua premis berkenaan membawa kepada penahanan 15 wanita warga Indonesia, China, Vietnam dan Thailand berusia 20-an dan 30-an.

Pemeriksaan membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan membabitkan dua premis iaitu pusat urut dan pusat kesihatan serta terapi kaki.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama enam wanita warga Thailand berusia antara 20 hingga 30-an serta seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis ditahan.

“Manakala di premis kedua kami menahan sembilan wanita iaitu masing-masing tiga dari Vietnam dan Thailand, dua warga China, manakala seorang lagi dari Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, selain mengaji pekerja asing, premis itu turut disyaki beroperasi tanpa lesen perniagaan sah dan pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun masih berdegil apabila dikesan mengulangi kesalahan sama.

“Semua wanita terbabit dibawa ke IPDTL untuk pemeriksaan lanjut bagi membantu siasatan terhadap premis berkenaan dipercayai sudah mula beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

“Siasatan dilakukan mengikut mengikut Seksyen 39 (B) Akta Imigresen 1959/1963 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Majikan pula disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana disyaki menggajikan dan melindungi wanita warga asing tanpa permit yang sah,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2014 @ 5:11am
d