mutakhir

Ikut abang berkhatan

Rembau: Dua pasangan adik-beradik antara 22 kanak-kanak di Taman Rembau Utama di sini, yang menyertai Program Khatan Perdana yang julung kali diadakan di taman perumahan itu, semalam.

Program sempena cuti persekolahan anjuran Surau Ehsaniah taman berkenaan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia antara enam dan 11 tahun.

Mohd Hafiz Azhar, 8, dan adiknya, Mohd Azril, 6, gembira apabila menyertai program berkhatan bersama rakan walaupun usia mereka masih awal.

Mohd Hafiz berkata, selepas mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka, adiknya juga mahu turut serta dalam program itu walaupun pada awalnya ibu bapa bimbang kerana dia masih terlalu awal untuk berkhatan.

Berlainan pula bagi dua beradik Muhammad Arif Aiman Norazman, 11, dan Muhammad Haris Zaquan, 8, turut sama menyertai program berkenaan selepas dipujuk ibu bapa mereka.

Muhammad Arif Aiman berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk bersunat, namun selepas dipujuk ibu bapa dia bersetuju, tambah pula adiknya ikut serta mengurangkan rasa gugupnya.

Sementara itu, pengarah program, Zainal Ibrahim berkata, acara berkenaan kali pertama dianjurkan dan puas hati apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

Disiarkan pada: November 24, 2014 @ 5:15am
d