mutakhir

Kaku bawah kereta

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Penduduk kondominium Prima Setapak 2, Jalan Gombak di sini, gempar susulan penemuan mayat seorang wanita berpakaian baju tidur mati berlumuran darah di bawah sebuah kereta.

Dalam kejadian 6.30 pagi semalam, mayat mangsa mulanya ditemui seorang pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan di kediaman berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.40 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal polis juga mendapati tiada penghuni di kondominium terbabit yang mengenali wanita terbabit dan berdasarkan maklumat daripada pengawal keselamatan, mangsa disyaki tinggal di tingkat 11 bangunan berkenaan.

“Ketika ditemui mangsa yang berusia sekitar 20-an ditemui terbaring di bawah kereta model Proton Saga.

“Hasil siasatan di unit rumah milik mangsa mendapati jeriji besi dan pintu rumah itu terbuka serta kosong. Pemeriksaan lanjut anggota forensik turut menemui peralatan menghisap dadah,” katanya.

Menurutnya, pengawal keselamatan yang disoal siasat mendakwa ternampak seorang lelaki dan wanita keluar daripada kondominium didiami mangsa dalam keadaan tergesa-gesa.

“Pihak polis masih menyiasat identiti sebenar mangsa yang dipercayai warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG pada lengan mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kawalan keselamatan kondominium itu.

Sehubungan itu, Asmadi menyatakan siasatan teliti sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada mangsa ditolak jatuh dari tingkat 11 kediaman itu atau sebaliknya.

“Usaha mengesan pemilik unit serta penyewa untuk membantu siasatan turut sedang dilakukan.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai kes kematian mengejut (SDR). Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada kelibat individu lelaki dan wanita yang dilihat oleh pengawal keselamatan itu mempunyai hubungan dengan kes itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2014 @ 5:16am
d