mutakhir

Ibu tunggal mengaku teguk minuman keras

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal menangis teresak-esak selepas dijatuhkan hukuman denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan gagal menjalani ujian alkohol melalui hembusan nafas, Jumaat lalu.

Majistret Erry Shariman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Asmah Suhaimi, 48, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Kinabalu di sini pada jam 7.30 malam, 21 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45c (6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM6,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ia kesalahan pertamanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim memohon hukuman setimpal.

Di mahkamah berlainan, seorang remaja masih mampu tersenyum selepas dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM800 atas pertuduhan mencederakan jirannya yang juga warga emas sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, Januari lalu.

Tertuduh, Muhammad Syawal Muszrad Hassan, 19, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Zuraini Abdul Razak.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan terhadap tertuduh jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syawal didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Jangga Muda,62, dengan menggunakan sebilah pedang samurai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Taman Intan Baiduri Sentul di sini, jam 3.30 petang pada 8 Januari lalu.

Terdahulu, peguam Mohammad Arifin Abdul Wahad memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya membantu ibu berusia 53 tahun menjual nasi lemak selain menyara bapanya berusia 60 tahun yang menghidap angin ahmar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistaman memohon mahkamah mengambil kira jenis kesalahan dilakukan.

Disiarkan pada: November 25, 2014 @ 5:11am
d