mutakhir

Kesan gaji minimum dikaji

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kajian berhubung pelaksanaan gaji minimum yang dikuatkuasakan awal tahun ini, dijangka siap sama ada akhir tahun ini atau tahun depan bagi mengenal pasti kesan pelaksanaannya terhadap sektor pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata, kajian semula perlu dilakukan setiap dua tahun seperti diperuntukkan Majlis Perundingan Gaji Negara.

Katanya, kementerian sedang mendapatkan maklum balas majikan dan pekerja mengenai pelaksanaan gaji minimum sama ada memberi kesan positif atau sebaliknya.

“Setiap dua tahun, kajian semula terhadap pelaksanaan gaji minimum ini perlu dilakukan dan tempoh itu ditentukan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Lebih 500,000 majikan di negara ini sudah melaksanakan gaji minimum dan kita juga mendapat maklumat seperti ada syarikat berkaitan kerajaan seperti di sektor pendidikan dan kesihatan.

“Walaupun ada rungutan, tetapi kerajaan memberi komitmen menyelesaikan gaji minimum ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan BN-Pasir Gudang Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang bertanyakan kesan positif dan negatif selepas gaji minimum itu dilaksanakan.

Terdahulu, Nasruddin Hassan (PAS-Temerloh) turut mengemukakan soalan tambahan sama ada kerajaan mempunyai mekanisme baru kepada pekerja asing bagi mengekang pengaliran wang keluar susulan gaji minimum itu.

Ismail berkata, kerajaan tidak boleh membezakan pekerja asing dan tempatan dalam pembayaran gaji kerana ia melanggar undang-undang buruh antarabangsa.

Katanya, mahu atau tidak, pekerja asing terbabit perlu dibayar amaun gaji sama diterima pekerja tempatan.

“Dalam rekod, kita mempunyai 2 juta pekerja asing berdaftar dan kita tidak boleh membezakan antara pekerja asing dan tempatan dalam pembayaran gaji,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2014 @ 5:11am
d