mutakhir

Tiada impak terhadap ekonomi

Kuala Lumpur: Pemansuhan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel tidak akan membawa kesan inflasi terhadap ekonomi negara memandangkan harga minyak mentah global sedang jatuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pihaknya menggambarkan langkah itu sebagai ‘satu perkembangan yang sangat positif’ bagi ekonomi kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada harga lebih rendah.

“Sudah pasti ini satu perkembangan yang sangat positif. Ia juga membantu kerajaan daripada segi beban subsidi dalam bajet,” katanya selepas pelancaran Pusat Perkhidmatan Korporat SWIFT di Kuala Lumpur yang diperluas oleh Puteri Astrid dari Belgium di sini, semalam.

Ditanya mengenai dasar monetari yang akan disemak semula susulan pelaksanaan sistem pengapungan terkawal terhadap harga bahan api itu, Zeti berkata bank pusat perlu melihat kesan keseluruhan mengenai risiko inflasi dan perkembangan lain daripada segi pertumbuhan.

“Ini dua faktor utama yang akan kita lihat dalam jangka sederhana. Buat masa ini ia tidak mengubah unjuran,” katanya.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan diesel akan ditentukan menerusi mekanisme pengapungan terkawal bermula 1 Disember depan.

Kerajaan juga mungkin mempertimbang memperkenalkan subsidi bersasar berdasarkan pendapatan pada kemudian hari jika harga minyak kembali meningkat. Langkah itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan menangani kenaikan kos sara hidup. -BERNAMA

Disiarkan pada: November 25, 2014 @ 5:12am
d