mutakhir

6 ditahan, 4 pencuri lori diburu

Ipoh: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan terutama lori dengan memberkas enam suspek berusia 19 hingga 36 tahun dan merampas pelbagai kenderaan dianggarkan bernilai RM600,000 dalam beberapa serbuan sejak dua minggu lalu.

Sindiket yang aktif menyamun lori sejak awal tahun ini di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur itu dipercayai terbabit dalam sembilan kes curi kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, berdasarkan laporan dan maklumat, pihaknya melancarkan Ops Lejang Khas Curi Lori serta membuat tangkapan pertama terhadap seorang lelaki pada 12 November lalu di Taman Silibin, di sini.

“Susulan itu, beberapa lagi serbuan dilakukan pada 15, 17 dan 19 November lalu di beberapa lokasi termasuk Kampung Tawas, Pusing dan Bercham serta menahan lima lagi suspek.

“Lima daripada suspek yang diberkas mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, samun bersenjata, dadah dan banyak lagi,” katanya di Balai Polis Pasir Puteh, di sini, semalam.

Menurutnya, sindiket curi kenderaan itu didapati mencuri lori untuk tujuan meleraikannya sebelum dijual sebagai alat ganti, selain akan mengubah nombor pada enjin dan badan lori untuk digunakan lori lain.

“Hasil serbuan yang dilakukan polis berjaya menemui semula enam lori pelbagai jenis, satu enjin lori jenis Hino, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai sudah diubah suai nombor enjin dan casis yang nilai keseluruhannya RM600,000.

“Terbaru polis turut merampas tujuh kepala lori tanpa enjin dalam serbuan di Kawasan Perindustrian IGB Tasek, Kampung Tawas, di sini minggu lalu,” katanya.

Paramasivam berkata, pihaknya kini memburu empat lagi individu dipercayai ahli kumpulan terbabit.

Mereka adalah S Ramu, 46, berasal dari Taman Chong Kee; Dalbir Singh, 31, berasal dari Sungai Puyu, Pulau Pinang; P Vikneswaran, 28, berasal dari Bandar Perai Jaya, Pulau Pinang dan Mohamad Mukmin Ibrahim Basri, 25, berasal dari Taman Meru, Ipoh.

Disiarkan pada: November 25, 2014 @ 5:17am
d