mutakhir

Perompak acu pisau samun RM1,200

Kajang: Pemilik sebuah hotel di Jalan Raja Haroun, di sini, kerugian RM1,200 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan pisau yang bertindak nekad menceroboh ruangan lobi hotel itu sebelum melarikan wang.

Dalam kejadian jam 8 malam Sabtu lalu, pekerja wanita terbabit yang berada di kaunter penyambut tetamu terkejut apabila suspek masuk dan terus mengacukan pisau.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan ketika kejadian itu hanya seorang pekerja berada di lobi hotel sebelum suspek merampas RM1,200.

Menurutnya, sebaik merampas wang itu, mereka terus melarikan diri tanpa mencederakan mangsa.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dapat merakam imej seorang suspek,” katanya.

Ab Rashid berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti suspek dan memburu mereka.

Disiarkan pada: November 25, 2014 @ 5:20am
d