mutakhir

Alih sebelum banjir

Sepang: Hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa penduduk di sekitar Kampung Bukit Changgang di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan semua barangan penting ke lokasi lebih selamat.

Tinjauan Harian Metro mendapati, terdapat sebahagian rumah dan jalan yang digenangi air dan parasnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Pengurus restoran Khairil Nizam Abd Jalil, 33 berkata, dia meminta bantuan adiknya untuk mengangkut barang menggunakan lori selepas melihat paras air di parit rumahnya semakin naik.

Katanya, proses pemindahan barangan perlu dilakukan secepat mungkin kerana bimbang rumahnya dinaiki air jika hujan masih berterusan.

“Rumah saya pernah dinaiki air sehingga mencapai paras lutut kira-kira dua tahun lalu menyebabkan saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah mentua selama 14 hari.

“Selepas banjir mulai surut, banyak harta benda dan barangan elektrik rosak menyebabkan saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkannya ke kawasan lebih selamat sebelum banjir melanda,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Changgang Johari Dol Salam, 63, berkata, pihaknya bersiap-sedia bagi menghadapi segala kemungkinan bakal berlaku sekiranya air semakin naik.

Menurutnya, mereka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meminta pihak berwajib menentukan penduduk akan berpindah ke dewan orang ramai kampung berkenaan, selain pengagihan makanan di sana nanti.

“Kami sentiasa berjaga-jaga kerana kawasan ini pernah mengalami banjir teruk sehingga ada 800 penduduk menumpang di dewan,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 5:19am
d