mutakhir

Taktik bocor

Kota Bharu: Bercermin gelap selain mempunyai keluasan yang membolehkan banyak barang diseludup antara sebab kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah menjadi pilihan untuk kegiatan penyeludupan masa kini.

Selain percaya kenderaan itu tidak akan menjadi sasaran pihak berkuasa, segelintir penyeludup aktif membawa masuk barang tanpa kebenaran terutama rokok.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan Rusli Karim berkata, taktik yang dilakukan penyeludupan itu memang dalam pengetahuan pihaknya dan usaha memantau sedang giat dijalankan.

“Sejak Januari lalu, anggota kita berjaya mengesan taktik menggunakan kereta mewah berkenaan dan sedang membuat pemantauan ke atas kenderaan terbabit khususnya di beberapa daerah yang menjadi tumpuan penyeludup terutama rokok.

“Daripada itu, sebanyak 22 kes penyeludupan rokok berjaya ditumpaskan dengan jumlah rampasan mencecah RM1.5 juta, hasil serbuan ke atas stor simpanan dan kenderaan.

“Malah dalam serbuan semalam (kelmarin), kami merampas 36 kotak rokok seludup yang disimpan dalam MPV jenis Toyota Vellfire,” katanya pada sidang media di Pejabat UPP di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 3.30 petang di depan sebuah pondok usang di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, 36 kotak berisi 1,980 karton rokok jenama Gudang Garam, Crazy Horse, Astro dan Nusantara dirampas bersama MPV berkenaan.

Rusli berkata, nilai keseluruhan rampasan lebih RM500,000.

“Serbuan hasil risikan sejak seminggu lalu. Kami temui kenderaan ini ditinggalkan di depan pondok usang dengan muatan rokok seludup bernilai RM28,800, manakala cukainya adalah RM288,000.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. Ketika serbuan terdapat beberapa lelaki dipercayai anggota sindiket, namun mereka sempat melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau daerah berisiko seperti Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:00am
d