mutakhir

Tekad tidak cacat

Kuala Lumpur: “Kecacatan ini bukan penghalang kepada saya untuk menjadi pendidik kerana ini adalah cabaran sebenar dalam hidup,” kata Masitoh Mt Zain, 35.

Dia melakar sejarah hidupnya apabila muncul sebagai graduan cemerlang Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain (J-QAF) Pendidikan Islam bagi Pengajian Bahasa Arab ketika Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG), semalam.

Graduan IPG Darulaman Jitra itu terpaksa berkerusi roda selepas mengalami kecederaan saraf tunjang dalam kemalangan lapan tahun lalu berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Dia berkata, kemalangan itu juga menyebabkan pengajian Sarjananya di universiti itu juga terhenti dan berakhir namun Masitoh tidak patah semangat.

“Pada mulanya saya fikir tiada apa lagi yang dapat saya lakukan dan selama beberapa tahun selepas kemalangan itu juga saya banyak berbaring dan bergerak perlahan-lahan di rumah. Namun, seorang doktor yang merawat memberi perangsang dengan mengatakan bahawa saya mampu meneruskan lagi impian kerana saya mempunyai ijazah,”.

Malah, pertemuannya dengan beberapa orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang guru yang mengalami kecederaan saraf tunjang menguatkan azamnya untuk menjadi seorang guru.

“Cabaran pertama saya adalah apabila melakukan latihan praktikal sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Putat, Kubang Pasu tetapi saya memudahkan pengajaran dengan memberi penerangan kepada murid melalui bahan bantu mengajar seperti projektor LCD dan komputer riba,” katanya.

Selain itu, dia juga menyediakan pengajaran secara interaktif melalui klip video lagu berbahasa Arab dan ini sedikit sebanyak membantu murid sekolah itu untuk lebih memahami bahasa itu.

“Mengajar ini hanya memerlukan gerak suara dan tangan saja namun saya tetap memerlukan bantuan murid untuk membawa buku dan saya juga mempunyai satu bilik darjah khas di tingkat bawah blok sekolah di mana murid di tingkat atas akan datang bilik darjah itu ketika sesi pembelajaran Bahasa Arab,” katanya.

Seramai 583 daripada 1,304 graduan hadir pada sidang kedua majlis konvokesyen itu yang dirasmikan Rektor IPG KPM, Sulaiman Wak dan dalam ucapannya beliau mengharapkan program J-QAF ini dapat diperkasakan dengan lebih jitu di sekolah kebangsaan dalam usaha melahirkan generasi mampu menguasai tulisan jawi, Al-Quran dan pendidikan Fardu Ain.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:27am
d