mutakhir

Tapis maklumat tidak sahih

Kuala Lumpur: UMNO perlu sentiasa bersedia menggalas cabaran media baru terutama bagi mengawal penyebaran maklumat tidak sahih supaya masyarakat khususnya golongan muda tidak mempunyai persepsi negatif terhadap perjuangan parti, selain berupaya mewujudkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat majmuk.

Justeru, cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mewujudkan Jabatan Media Sosial bertepatan bagi menjamin keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini yang dikecapi sejak sekian lama.

Pengerusi Kelab UMNO United Kingdom Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, UMNO berperanan besar selaku parti tunjang Barisan Nasional (BN) untuk memastikan rakyat khususnya golongan muda tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau sensitif disebarkan dalam media sosial.

“Sebagai contoh apabila isu membabitkan agama dan bangsa menjadi viral di media sosial, ia menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu perlu ada mekanisma untuk menapis atau memperbetulkan maklumat tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya selepas menghadiri Forum Antarabangsa bertajuk ‘Dunia Kesalinghubungan Digital: Cabaran Dalam Pembinaan Negara’ sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Seorang perwakilan Kelab UMNO Luar Negara Syed Muhd Ariff Syed Abdul Rahim berkata, jentera alam maya UMNO perlu meningkatkan lagi usaha menangkis tohmahan dilemparkan kepada parti supaya masyarakat terutama golongan mahasiswa tidak terpengaruh dengan propaganda yang dicetuskan pihak tertentu.

“Dalam era media baru, masyarakat lebih gemar mendapatkan maklumat daripada laman sosial hingga ada kalanya tidak mempercayai laporan media arus perdana.

“Oleh itu, jentera alam maya parti perlu dipertingkatkan lagi prestasinya supaya maklumat tepat tersebar dengan lebih cepat dan meluas,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:40am
d