mutakhir

Menggigil jumpa jasad dalam selimut

Alor Setar: “Seluruh tubuh saya menggigil apabila mendapati objek yang dibungkus dengan selimut itu mayat manusia kerana keadaan di kawasan itu sunyi.

“Ketika itu, saya mencari ketam di kawasan tepi laut di sini dan tidak sangka menemui mayat berhampiran tali air ini,” kata Ismail Mat Zahir.

Mayat tanpa identiti itu ditemui jam 9 pagi semalam di atas rumput berhampiran tali air di Kampung Tebengau Tepi Laut, Jalan Kuala Kedah, di sini.

Difahamkan, mayat lelaki warga Myanmar itu sudah berbau dan dipercayai meninggal dunia di tempat lain sebelum dibungkus dengan selimut dan diikat dengan tali sebelum ditinggalkan di kawasan itu.

Ismail, 42, berkata, dia datang dari Kuala Kangkong dekat sini, sering mencari ketam di kawasan itu dan terkejut sebaik menemui objek itu.

Katanya, dia tidak berani membuka bungkusan itu kerana bimbang ia mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.

“Saya menggigil melihat mayat itu kerana ketika kejadian hanya saya berada di situ dan terus ke rumah rakan tidak jauh dari kawasan ini untuk memaklumkan penemuan mayat itu.

“Kami datang semula ke lokasi untuk melihat mayat berkenaan sebelum menghubungi Balai Polis Kuala Kedah,” katanya, di sini, semalam.

Ismail berkata, mayat lelaki itu berkemungkinan ditinggalkan di kawasan itu pada waktu malam atau awal pagi semalam.

Berikutan itu, anggota polis kemudian datang ke kawasan berkenaan untuk pengesahan dan mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:44am
d