mutakhir

Sorok sebalik kanvas siling

Alor Setar: Seorang wanita warga asing sanggup mengambil risiko bersembunyi di atas siling rumah sewanya ketika Jabatan Imigresen Kedah melancarkan Ops 6P di Kampung Tanjung Kapor, dekat Jitra, awal pagi semalam.

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 12 tengah malam, membabitkan 15 anggota penguat kuasa itu membuat pemeriksaan ke atas 19 warga asing di tiga lokasi berasingan di sekitar Jitra.

Daripada jumlah itu, 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 30 hingga 40-an diberkas kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Ketua Operasi Jabatan Imigresen Kedah Zamri Jasmani berkata, lokasi persembunyian wanita berusia lingkungan 30-an itu hanya disedari anggota penguat kuasa sebelum mereka beredar meninggalkan rumah berkenaan yang turut dihuni lima lagi warga Indonesia lain.

“Kami memeriksa di seluruh ruang rumah ini termasuk dalam bilik dipasang kelambu, tetapi tiada penghuni.

“Kami mengesyaki masih terdapat seorang lagi penghuni dalam rumah berkenaan sebelum menyedari wanita ini bersembunyi di atas siling rumah setinggi dua meter.

“Pada mulanya kita tidak menyedari wanita ini berikutan siling ini terlindung dengan kain kanvas dan saya tidak menjangkakan sama sekali wanita ini sanggup memanjat hingga ke siling sebelum disedari anggota imigresen ketika hendak meninggalkan rumah ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati punca wanita terbabit bersembunyi di atas siling rumah kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan ketika serbuan dijalankan di rumah itu jam 1 pagi.

“Tiga penghuni rumah berkenaan juga warga Indonesia turut ditahan dalam operasi itu kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Semua PATI itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana menetap lebih masa dalam negara.

“Mereka akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:48am
d