mutakhir

'Dua minggu dia tak balik'

Johor Bahru: “Saya jadi tidak tenteram sejak anak menghilangkan diri hampir dua minggu lalu dan berdoa agar Tuhan membuka hatinya untuk kembali ke pangkuan kami sekeluarga,” kata seorang ibu tunggal, Noraizah Abdul Rahim yang bimbang selepas anak kelima daripada enam beradik, Mohd Shahrin Firdaus Mohd Hila, 12, menghilangkan diri sejak 14 November lalu.

Noraizah, 40, yang bergelar ibu tunggal sejak enam tahun lalu berkata, Mohd Shahrin meminta izinnya keluar dari rumah bersama dua rakannya Mohamad Syazwan Mohamed Fadzil, 12, dan Aiman Al Amin Abdullah, 13, kira-kira jam 11 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, anaknya berjanji untuk pulang sebelum Maghrib, tetapi sejak itu Mohd Shahrin hilang bersama dua rakannya itu.

Noraizah berkata, dia sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, sehari selepas kejadian.

“Sebagai ibu, saya amat merinduinya dan mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi saya di talian 019-7068407,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan polis mengenai kehilangan tiga remaja terbabit.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 6:57am
d