mutakhir

Syarikat rugi RM1j

Kuala Lumpur: “Saya sangat sedih dan kecewa. Sampai hati mereka buat saya macam ini,” kata penerbit dan pelakon Diana Johor yang terkilan dengan pelbagai masalah dihadapi dalam produksi sehingga menyebabkan penggambaran filem Rentap tertangguh lebih lima bulan.

Diana atau Nordiana Johor Zainal Abidin, 33, berkata, dia tidak menyangka pelbagai masalah yang didakwanya tindakan beberapa pihak dalam produksi filem itu mengakibatkan kerugian besar pada syarikatnya, Unique Twins Sdn Bhd.

“Kalau nak diikutkan saya rugi lebih RM1 juta untuk kos keseluruhan termasuk RM16,800 dilarikan seorang pekerja produksi filem ini. Itu tak kira lagi kerugian masa dan kos lain.

“Saya buat laporan polis dan hantar surat tuntutan untuk individu itu memulangkan semula duit saya, tetapi tak tahulah bila dia akan pulangkan,” katanya.

Kontroversi penangguhan penggambaran filem epik itu bukan isu baru kerana ia mula diperkatakan sejak Jun lalu. Sebelum ini, menerusi laporan Harian Metro pada 3 Oktober lalu, Diana dituduh tidak bertanggungjawab dan cuba melarikan diri selepas berhutang baki bayaran pekerja filem mencecah RM100,000.

Diana menegaskan dia tidak pernah berbuat demikian sebaliknya berusaha menyambung semula penggambaran tertangguh disebabkan pelbagai masalah dalaman.

Difahamkan, penggambaran filem arahan Hashim Rejab bermula awal Jun itu ditangguhkan selepas tiga minggu kerana kemelut dalaman dalam pengurusan dan kewangan.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 7:07am
d