mutakhir

'Saya berniat baik'

Kuala Lumpur: “Percayalah, saya tidak berniat begitu. Saya berniat baik apabila menulis skrip filem itu. Tak ada sedikit pun rasa prejudis atau mahu mencetuskan provokasi terhadap bangsa Melayu.”

Itu penjelasan pengarah filem Lelaki Harapan Dunia, Liew Seng Tat, berikutan ketidakpuasan hati sebahagian penonton yang berasa tersinggung dengan kandungan cerita dalam filem itu yang dianggap mempersendakan kaum Melayu.

Liew, 35, yang dihubungi berkata, persepsi liar itu timbul kerana segelintir penonton melihat paparan subjek dalam filem itu mengenai sikap Melayu dari aspek negatif semata-mata.

“Jika orang melihat (filem itu) daripada perspektif negatif, mereka nampak benda buruk, tapi jika sebaliknya mereka nampak perkara baik sebenarnya.

“Saya menghormati pendapat semua, tapi persepsi itu tidak berasas sebab saya ada ramai kawan rapat berbangsa Melayu dan macam keluarga. Takkan saya nak buat perkara begitu dalam karya saya,” katanya.

Kontroversi kecoh diperkatakan di media sosial semalam termasuk dalam kalangan pengamal media timbul selepas tayangan pra-tonton filem itu di GSC Pavilion, malam kelmarin.

Selepas tayangan filem itu, sebahagian penonton mendapati kandungan filem itu yang memaparkan kisah penduduk kampung yang mahu mengalihkan sebuah rumah usang dari kawasan hutan mempunyai lapisan mesej berbaur sindiran dan provokasi yang memperlekehkan kaum Melayu.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 7:08am
d