mutakhir

Rugi kalau tak layan

Kuala Lumpur: Bertepatan dengan slogan ‘Padat, Rugi Tak Layan’, Harian Metro (HM) bakal menemui pembaca setianya dengan pelbagai aktiviti menarik menerusi Karnival HM Padat pada 6 dan 7 Disember ini.

Program yang padat dengan pengisian itu memilih Bulatan Bazarena di Stadium Melawati Shah Alam sebagai lokasi strategik dengan kemudahan parkir yang banyak disediakan bagi setiap pengunjung.

Turut dijangkakan lebih 100,000 pengunjung menghadiri karnival berkenaan seawal jam 10 pagi sehingga 7 malam pada Sabtu manakala keesokan harinya sehingga tengah malam.

Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar berkata, HM sebagai akhbar yang peka dan bertanggungjawab, sentiasa berusaha mendekati pembaca setianya dengan pelbagai aktiviti.

“Ini tidak terhad menerusi dalam akhbar saja, malah pelbagai usaha secara bersemuka dijalankan.

“Ia juga selaras dengan matlamat HM yang mahu menjadikan akhbar paling laris ini lebih daripada sekadar penyalur berita semata-mata,” katanya pada sidang media Karnival HM Padat di Balai Berita, di sini, semalam.

Antara barisan penaja bagi Karnival HM Padat adalah Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Tidak ketinggalan juga, kemuncak karnival adalah Konsert Padat HM pada malam 7 Disember yang bakal digegarkan penyanyi terkenal seperti Ajai, Hazama, Awi Rafael, Nidji dan ramai lagi sebagai tanda terima kasih HM kepada pembacanya.

Pengunjung berpeluang menyertai aktiviti seperti gubahan bunga, pameran dan jualan kereta baru dan terpakai, jualan aksesori kenderaan dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal.

Selain itu, turut menjadi tarikan pertandingan Juara Karaoke Metro, gusti lengan dan ‘Battle of The Band’ yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Menurut Mustapa, penganjuran karnival berkenaan antara lainnya sebagai usaha menghargai sokongan berterusan pembaca setia terhadap akhbar paling laris sejak penerbitan sulungnya pada Mac 1991.

Disiarkan pada: November 26, 2014 @ 7:09am
d