mutakhir

Masalah mata tak jejas peluang

Kuala Lumpur: Anak tukang kayu yang mengalami masalah penglihatan membuktikan kekurangan diri bukanlah halangan mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan, semalam.

Wong Wei Poh, 12, dari Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya, Puchong dekat sini berkata, walaupun mempunyai kekurangan, dia tidak pernah merasa rendah diri dan sentiasa berusaha untuk berjaya.

“Apabila mendapat keputusan hari ini (semalam), saya bersyukur dan berterima kasih kepada guru dan ibu bapa yang banyak berkorban untuk saya.

“Saya hanya pergi ke kelas tambahan sekolah saja. paling penting fokus ketika di dalam kelas,” katanya yang menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli muzik.

Pada majlis penyampaian slip keputusan UPSR yang disampaikan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.semalam, Wong dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Kategori Calon Berkeperluan Khas (Penglihatan).

Turut hadir Guru Besar SKPJ, Noorsham Ibrahim dan ibu bapa yang menemani anak mereka mengambil keputusan UPSR.

Ibu Wong, Ng Siew Peng, 40, pula berkata, dia yakin anaknya berjaya dalam UPSR memandangkan Wong tidak pernah putus asa mengulang kaji pelajaran.

“Walaupun ketika beberapa kertas perlu dijawab semula kerana berlaku kebocoran, saya nampak dia tidak merungut. Dia masih bersemangat menjawab kertas ulangan,” kata Ng.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 5:35am
d