mutakhir

Tangisan cuba berhijab

Johor Bahru: “Tanpa disedari, saya menangis sebaik berjubah dan memakai niqab (pelindung muka). Walaupun hanya kurang 20 minit mencuba, ia membuka hati saya untuk berhijab dalam masa terdekat,” kata seorang kakitangan awam, Ummul Khairi Fatimah Ibrahim, 26.

Ummul Khairi Fatimah antara 100 wanita Islam yang menyertai Program Hijab anjuran World Event Management di Plaza Angsana, di sini, kelmarin.

Berasal dari Kempas, dia yang sudah bergelar ibu kepada dua anak pernah terfikir untuk berhijab, tetapi hatinya belum sepenuhnya terbuka.

“Ini kali pertama saya mencuba niqab dan berjubah dan berasa amat selesa. Dalam tempoh terdekat ini, saya berniat mahu bertudung, tambahan pula saya sudah berkeluarga dan ingin menjadi contoh kepada anak,” katanya yang ditemani suami, Saiful Bahri Shamri, 27, ke program itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur program, Noor Diana Hashim, 36, berkata, program berkenaan antara pengisian karnival pengantin Dunia Raja Sehari yang dianjurkan syarikat berkenaan.

Menurutnya, objektif program berkenaan untuk menggalakkan lebih ramai wanita Islam bertudung dan menutup aurat.

Katanya, sepanjang karnival yang diadakan selama seminggu itu, wanita Islam berpeluang untuk berkunjung ke gerai menjual pakaian Muslimah di pameran pengantin untuk mencubanya terutama niqab.

“Kami tidak memaksa mereka untuk berniqab atau berhijab kerana program ini juga bukan bertujuan menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Namun sambutan diterima daripada masyarakat bandar luar biasa apabila seramai 100 wanita mencubanya dan kami yakin ia mampu membuka hati mereka untuk menutup aurat dan berubah demi Allah,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 6:44am
d