mutakhir

Penjara 2 bulan miliki pisau tanpa kebenaran

Kota Bharu: Seorang penganggur dipenjara dua bulan dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki pisau tanpa kebenaran, Oktober lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Abdul Razak Abdullah, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Oktober 2014.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah di rumah tidak bernombor di Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh pada jam 10 malam, 13 Oktober 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan berikutan dia sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Muhamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:27am
d