mutakhir

Taktik 'Abe K' jual tayar terbongkar

Kota Bharu: Sindiket pengedaran dadah dikenali ‘Abe K’ dikesan berselindung di sebalik perniagaan kedai menjual tayar dan kereta terpakai bagi mengaburi kegiatan.

Jenayah terancang dilakukan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan selepas ketua sindiket itu ditangkap polis dalam serbuan di Lubok Jong, Pasir Mas, jam 3.30 petang kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun itu yang berasal dari Jertih, Terengganu itu diberkas bersama pelajar lelaki berusia 16 tahun dan tiga warga Thailand di rumah di Gual Nering, Rantau Panjang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati ketua sindiket berkenaan berselindung di sebalik perniagaan kenderaan terpakai untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran pantai timur.

Menurutnya, suspek ditahan ketika sedang menunggu pelanggan dari Pahang dan mereka didapati sudah menjalankan kegiatan ini sejak 2012.

“Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri turut merampas 1,780 pil kuda dianggarkan bernilai RM44,500.

“Soal siasat terhadap suspek warga Thailand itu turut menemui dadah syabu seberat satu kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Mazlan berkata, pihak polis turut menyita wang tunai dan lima kereta yang dianggarkan bernilai RM61,300.

“Semua suspek ditahan reman sehingga 2 Disember depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:28am
d