mutakhir

Yayasan tangani krisis kemiskinan bandar

Kuala Lumpur: Sebuah yayasan khas perlu diwujudkan segera bagi menangani semua masalah dan keperitan dialami rakyat miskin di kawasan bandar berikutan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya Noor Aini Mustafar ketika membahaskan usul ekonomi berkata, yayasan berkenaan boleh merancang mewujudkan klinik dan kedai runcit yang menawarkan perkhidmatan dan barangan pada harga rendah atau penawaran biasiswa pelajaran kepada pelajar cemerlang dalam kalangan masyarakat miskin bandar.

Menurutnya, golongan profesional dalam UMNO seperti doktor boleh memainkan peranan mereka dengan menyumbang kepakaran, sumber kewangan atau tenaga bagi membantu secara percuma di klinik berkenaan.

“Kos sara hidup di bandar semakin meningkat dan kerajaan pula difahami akan mempertimbangkan kelangsungan pemberian subsidi bahan api hingga menyebabkan masyarakat miskin bandar akan lebih merasai kesannya.

“Walaupun kadang-kala kerajaan terpaksa melakukannya demi kebaikan yang lebih besar, namun kita berharap kerajaan dapat merasionalisasikan tindakan itu supaya lebih difahami rakyat, ibarat menarik rambut dalam tepung,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:43am
d