mutakhir

Tidak pernah halang jurucakap

Kuala Lumpur: “Saya tidak halang jurucakap dan pembahas berucap kerana ini pentasnya untuk orang Melayu bercakap apa saja berkaitan kepentingan kita,” begitu tegas Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Menurutnya, beliau yakin walaupun usul yang bakal dibahaskan perwakilan pada perhimpunan kali ini agak ‘panas’ seperti isu Akta Hasutan 1948 dan sekolah vernakular, namun semua perwakilan cukup berwibawa dan berhemah tinggi ketika menyampaikan fakta mereka nanti.

Beliau berkata, bagaimanapun, persidangan itu nanti tetap ada tatacara dan etika yang perlu dipatuhi oleh barisan jurucakap.

“Saya sudah lihat senarai jurucakap, ada antara mereka kawan saya.

“Mereka semua orang yang berpengalaman yang boleh berhujah dengan berhemah, berfakta dan memberikan teguran baik kepada pemimpin kita,” katanya kepada Harian Metro di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebarangkalian perwakilan yang berbahas tidak dapat mengawal emosi mereka khususnya apabila membicarakan berkaitan isu panas termasuk sekolah satu aliran, sekolah vernakular serta Akta Hasutan.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap perhimpunan meminta semua jurucakap usul dan pembahas supaya tidak terlalu beremosi kerana bimbang ia boleh disalah tafsir termasuk oleh rakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Badruddin yang diamanahkan sebagai Pengerusi Tetap sejak 2007 berkata, sepanjang mempengerusikan persidangan tahunan parti terbesar Melayu itu, beliau tidak berdepan sebarang masalah mengawal jurucakap dan pembahas.

Menurutnya, kebanyakan perwakilan memberikan kerjasama dengan patuh kepada etika persidangan.

“Kita pun ada peraturan mesyuarat, Alhamdulillah, selama ini jurucakap dan pembahas tak melawan saya, mereka memudahkan tugas saya,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:43am
d