mutakhir

Beri peluang saksama

Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu memastikan peruntukan bantuan disalurkan kepada lebih ramai wanita muda bagi memberi peluang kepada golongan itu membaiki kehidupan menerusi aktiviti perniagaan.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Siput, Perak Ramfizah Ramli berkata, wanita muda perlu diberikan peluang saksama untuk menikmati kek ekonomi di negara ini selaras penambahan peruntukan dalam Bajet 2015 kepada TEKUN, AIM dan Projek 1Azam.

“Idealnya penambahan peruntukan itu akan membuka banyak peluang kepada wanita muda membuka perniagaan seperti butik kecantikan atau pusat rawatan pelbagai penyakit setaraf dengan minat dan kelayakan mereka.

“Namun, peluang itu perlu dilaksanakan sepenuhnya supaya golongan berkenaan dapat keluar daripada garis kemiskinan.

“Justeru, Pergerakan Puteri UMNO Perak mencadangkan peruntukan yang diberikan perlu difokuskan dengan meletakkan beberapa peratus daripada jumlah peruntukan itu kepada golongan wanita muda,” ketika membahaskan Usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di PWTC di sini, semalam.

Beliau berkata, TEKUN dan AIM perlu memastikan dana itu digunakan sepenuhnya bagi mewujud atau melahirkan peniaga dan usahawan wanita muda.

“Saya berharap agensi pelaksana hendaklah benar-benar fokus dalam membantu wanita muda ini untuk hidup berdikari.

“Data peminjam perlu direkodkan dan dipantau jabatan serta agensi berkaitan secara berkala bagi memastikan usaha mereka tidak hanya sekerat jalan.

“Langkah ini diharap dapat membantu usahawan wanita muda meneruskan perniagaan mereka, malah bagi mereka yang bermasalah, tindakan sewajarnya perlu diambil segera supaya perniagaan itu tidak terus mengalami kerugian atau ditutup,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:44am
d