mutakhir

Rentas bangsa

Kuala Lumpur: Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan usaha mengekalkan Akta Hasutan bukan agenda Melayu, sebaliknya kepentingan akta itu merentas bangsa dan agama.

Beliau berkata, soal mempertahankan perlembagaan negara menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini tanpa memberi kelebihan mana-mana pihak, tetapi ia demi mempertahankan perpaduan dan ketenteraman negara.

“Wanita (UMNO) dengan tegas mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet mengkaji semula kemungkinan memansuhkan Akta Hasutan kerana kalau akta itu dihapuskan atau diganti Akta Harmoni sekalipun, saya rasa kita akan letak negara pada paras bahaya dari segi keselamatan, perpaduan dan ketenteraman.

“Perkara ini bukan agenda Melayu. Jangan soal, jolok isu sensitif, raja, isu agama atau bahasa, sama juga ingatkan kepada Wanita supaya jangan persoal isu kewarganegaraan atau isu hak kaum bukan Melayu. Pada saya ini adil,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO di sini, semalam.

Beliau berkata, keterbukaan dan ketelusan kerajaan sebelum ini tidak menghalang kritikan membina, cadangan dan idea serta suara rakyat terhadap polisi kerajaan walaupun masih ada Akta Hasutan.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 7:47am
d