mutakhir

Bimbang tak berasas

Kuala Lumpur: Kebimbangan pihak tertentu bahawa Akta Anti Keganasan akan sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini tidak berasas kerana tumpuan utamanya adalah untuk menangani aktiviti keganasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga tidak mahu ada pihak yang berprasangka terhadap usaha kerajaan dalam menangani aktiviti militan dan keganasan itu dengan mengandaikan akan ada penyalahgunaan kuasa oleh menteri yang bertanggungjawab mengendalikan akta baru itu nanti.

Katanya, beliau akan mengadakan rundingan dengan semua ahli parlimen sebelum ia dibentangkan pada sesi parlimen yang akan datang nanti.

“Kerisauan (akta baru jadi seperti ISA) itu tidak berasas sebab tumpuan kita untuk menangani keganasan.

“Jangan ada kekhuatiran berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana menteri yang diberikan tanggungjawab mengendalikan akta baru ini jika ia dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 8:10am
d