mutakhir

Tampan temberang

Georgetown: Guna gambar jejaka tampan untuk pikat wanita menjadi kenalan menerusi laman sosial sebelum wang dikebas.

Bagaimanapun, kelicikan empat lelaki warga Nigeria serta seorang wanita warga Indonesia dan seorang wanita tempatan berakhir apabila dicekup polis dalam dua serbuan berasingan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Keenam-enam suspek berusia 20-an itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) dan BSJK Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di Kuala Lumpur dan Relau, di sini.

Mereka dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan terhadap beberapa wanita, termasuk dua suri rumah dengan membabitkan kerugian bernilai hampir RM2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan dua lelaki warga Nigeria ditahan di Kuala Lumpur pada 20 November lalu manakala dua lagi lelaki warga Nigeria serta dua wanita ditahan di Relau pada keesokan harinya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka menggunakan modus operandi sama iaitu memperdaya mangsa melalui laman sosial Facebook dengan menggunakan wajah jejaka tampan sebagai satu tarikan untuk berkenalan sebelum dijadikan mangsa mereka.

Katanya, siasatan mendapati mereka menjadikan suri rumah sebagai mangsa sebelum memperdaya mereka kononnya mengirimkan satu bungkusan mengandungi hadiah berharga sebagai tanda kasih dan sayang untuk mengaburi mata mangsa.

“Selepas mengirim hadiah berkenaan, suspek akan menghubungi mangsa kononnya hadiah yang dihantar ditahan kastam dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang untuk mengambil hadiah berkenaan dan mangsa yang terpedaya memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan tanpa usul periksa.

“Apabila mendapati hadiah dihantar itu sebenarnya tidak wujud, mereka membuat laporan polis selepas mengesyaki ditipu,” katanya ketika pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Semua yang ditahan dibawa ke IPDSPU dan IPDTL untuk siasatan lanjut dan keempat-empat lelaki warga Nigeria terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan sah dan kami turut merampas pelbagai barangan termasuk komputer riba, telefon bimbit, kad bank dan beg tangan.

Disiarkan pada: November 27, 2014 @ 8:32am
d