mutakhir

Pulang 'berjaga' pantau pencuri

Teluk lntan: Beberapa penduduk di empat kampung dari Mukim Changkat Jong di sini, yang berdepan masalah banjir terpaksa menjadi ‘pengawal keselamatan’ rumah dan kawasan ladang sawit masing-masing pada waktu malam bagi mengelak barang berharga serta buah sawit dicuri.

Berikutan itu, suami atau ahli keluarga terutama lelaki terpaksa tidur di rumah pada waktu malam, manakala ahli keluarga lain tidur di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong Batu 7 di sini yang dijadikan pusat pemindahan banjir.

lnilah fenomena mangsa banjir membabitkan 339 daripada 100 keluarga dari kampung Batu 9, Batu 11 Lorong Setia, Batu 8 Lorong Kedah dan Batu 8 Pokok Asam Mukim Changkat Jong yang dilanda banjir sejak Isnin lalu.

Penduduk, Rozita Shaari, 34, berkata, suaminya Mat Rashid Mohd Nawawi, 37, tidur di rumah mereka di Batu 8 Lorong Asam Jawa kira-kira dua kilometer dari pusat pemindahan banjir itu.

“Suami saya datang ke sini sebentar saja pada waktu siang dan tidak tidur di sekolah kerana perlu tidur di rumah bagi mengelak kediaman kami menjadi sasaran pencuri,” ” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi Hamid Hashim, 57, dari Batu 9 Simpang 3 Bidor, dia bersama dua anak lelaki berusia 18 dan 20 tahun tidur di rumah pada sebelah malam kerana rumah mereka agak terpencil.

“Saya tenteram tidur di rumah dapat jaga barang berharga seperti mesin basuh, televisyen, peti sejuk dan perabot daripada menjadi mangsa penyangak yang berkeliaran waktu malam,” katanya.

Pekebun kecil, Hamdani Ahmad, 50, berkata, kes kecurian buah sawit tidak dapat dielakkan sejak beberapa kali banjir di mukim itu.

Menurutnya, kejadian kecurian berlaku pada waktu malam dipercayai dilakukan pencuri yang meredah banjir sedalam hampir dua meter.

“Kami hanya tahu buah sawit dicuri apabila hanya tinggal tandan yang kesan dipotong ketika mahu mengambilnya,”” katanya yang kerugian sehingga RM5,000 akibat kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Infrastruktur Tenaga dan Air Neger Dato Zaijol Fadzi Paharuddin berkata, kes kecurian buah sawit sering berlaku di kawasan dilanda banjir.

Menurutnya, kerajaan negeri tiada peruntukan bagi membantu pekebun kecil sawit yang kerugian akibat menjadi mangsa kecurian.

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 6:52am
d