mutakhir

Semak semula kursus di IPT

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan melakukan proses semakan semula sebelum memberi pengiktirafan terhadap kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, kementerian perlu memastikan semua kriteria yang ditetapkan dipatuhi oleh institusi berkenaan sebelum pengiktirafan dilakukan.

“Kementerian dalam proses untuk semak semula (pengiktirafan) dan ini sangat penting bagi semua kriteria yang sudah ditetapkan itu dipatuhi sebelum pengiktirafan diberi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang mahu mengetahui mengapa terdapat beberapa IPT termasuk swasta boleh menawarkan kursus undang-undang tidak diiktiraf menyebabkan ramai pelajar tidak dapat berkhidmat sebagai peguam walaupun mempunyai ijazah.

Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) turut mengemukakan soalan tambahan mengenai sejauh mana pengiktirafan terhadap sijil matrikulasi di peringkat global berbanding prauniversiti di negara lain.

Dalam pertanyaan asal, Koh bertanyakan langkah diambil kementerian untuk mengatasi masalah matrikulasi yang mempunyai permohonan tinggi daripada pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Menjawab soalan itu, Mary berkata, Bahagian Matrikulasi kementerian mendapat pengiktirafan daripada 11 universiti berprestij di United Kingdom (UK) dan lapan universiti di Australia.

Katanya, sehingga tahun ini, seramai 261 mengikuti program ijazah pertama di universiti terbabit di bawah tajaan kementerian.

“Sehingga 2014, seramai 261 orang pelajar mengikut program ijazah pertama di universiti berprestij bawah tajaan kementerian. Beberapa rundingan dilaksanakan yang mengiktiraf pelajar matrikulasi sebagai syarat kemasukan setaraf A Level.

“Susulan itu, Bahagian Matrikulasi mendapat pengiktirafan dari 11 universiti di UK seperti University of Birmingham, University of Nottingham serta University of Manchester.

“Ini termasuk juga IPT di Australia seperti Monash University, University of Melbourne dan University of Sydney,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 7:06am
d