mutakhir

'Benda dah nak jadi'

Kuala Lumpur: “Mula-mula saya ingatkan hanya terseliuh tak sangka pula sampai patah. Tak apalah benda dah nak jadi, kenalah saya berehat buat masa ini,” kata penyampai radio dan pengacara Sharifah Shahira atau Shira mengenai insiden jatuh basikal yang dialaminya malam Selasa lalu sehingga mengakibatkan kaki kanannya patah.

Shira atau nama sebenarnya Sharifah Shahira Syed Abu Bakar, 40, berkata, dia tidak menyangka insiden melucukan yang berlaku secara tidak sengaja itu boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepadanya.

“Kalau diingatkan semula kejadian malam itu nak tergelak pun ada juga sebab saya jatuh secara tiba-tiba sebab hilang imbangan. Bukan ada apa-apa atau punca lain pun tapi tak pasal-pasal jatuh sendiri.

“Bila dah kena ini, reda sajalah. Apa nak buat benda sudah nak jadi. Kenalah saya berehat panjang,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Menurut penyampai radio Ultra FM itu, insiden patah kaki bukan pertama kali dialaminya kerana sebelum ini pernah melalui situasi sama disebabkan sikapnya yang aktif.

Terdahulu, pada Mei lalu Harian Metro melaporkan Shira pernah mengalami kecederaan di kepala selepas terjatuh di kawasan parkir kenderaan di tempat kerja.

Difahamkan, Shira terjatuh kerana terkejut selepas melihat satu lembaga serba putih yang muncul secara tiba-tiba daripada belakang keretanya ketika dia menghampiri kenderaan itu.

Kemunculan lembaga bertujuan menakut-nakutkan pengacara itu adalah gimik ‘prank’ yang diaturkan sebuah produksi program televisyen.

Katanya, dia juga tidak menyangka kemalangan kecil yang disangkakan tidak serius itu mengakibatkan kecederaan yang agak besar kepadanya.

“Biasalah saya ini jenis yang tidak boleh duduk diam. Kalau di rumah, ada saja benda saya nak buat dan bergerak ke sana dan ke sini. Kebetulan pada malam itu, saya mengayuh basikal untuk ke kedai dan tak disangka hilang imbangan lalu terjatuh.

“Selepas jatuh saya tak boleh nak bangun sampaikan terpaksa hubungi suami untuk datang ambil. Tapi saya sangka hanya terseliuh biasa. Mungkin sebab kaki terhentak kuat ke atas jalan yang menyebabkan patah,” katanya.

Shira berkata, berikutan insiden itu dia diarahkan untuk berehat selama dua minggu.

“Insya-Allah esok (hari ini) sudah boleh balik tapi kena berehat lagilah. Kalau diikutkan saya kena kurangkan aktiviti selama dua minggu tunggu biar betul-betul sembuh.

“Jadi dalam tempoh itu juga saya kenalah bertongkat dan tidak boleh terlalu aktif. Selama ini aktif sangat, bila kena macam ini saya terpaksa perlahankan rentak sikit,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 7:19am
d