mutakhir

Perkukuh Akta Hasutan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Akta Hasutan 1948 bukan saja akan terus dikekal dan dipertahankan, malah akan diperkuat dan diperkukuhkan melalui dua perkara.

Menurutnya, perkara pertama akan dimasukkan peruntukan khas untuk melindungi kesucian Islam, bahkan agama-agama lain juga tidak boleh dihina manakala keduanya, tindakan keras bakal dikenakan terhadap sesiapa saja yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengumumkan demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Serentak pengumuman itu, kira-kira 3,000 perwakilan dan pemerhati tempatan serta antarabangsa yang memenuhi Dewan Merdeka terus berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh.

“Saya sebagai Perdana Menteri memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 akan terus dikekalkan. Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan.

“Ia berdasarkan apa yang kita lihat sebentar tadi (tayangan multimedia), saya mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita, Pemuda, Puteri, usul-usul daripada bahagian, keresahan suara-suara akar umbi serta pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Dalam ucapan dasarnya selama kira-kira satu jam 20 minit itu, Perdana Menteri buat julung kalinya turut menggunakan kemudahan multimedia termasuk tayangan video yang diselang-selikan bagi memberikan gambaran lebih jelas kepada perwakilan dan pemerhati.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk akar umbi parti mendesak supaya akta berkenaan dikekalkan dan ditambah baik demi memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Najib juga berjanji dan berikrar akan terus melaksanakan tugasnya sebagai penyambung lidah serta warisan perjuangan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Menurutnya, beliau tidak sanggup membiarkan keturunan dan bangsanya melarat, terhina hingga terbangsat menjadi celaka di tanah air sendiri, sebaliknya terus komited memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera dengan bukan sekadar cakap kosong, tetapi melakukan segala yang termampu melalui kerjasama dalam parti dan kerajaan.

“Semua ingin tahu apa sebenarnya pendirian saya selaku Presiden mengenai masa depan Melayu dan Bumiputera. Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar Perdana Menteri, bukan setakat Presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 7:44am
d