mutakhir

SPRM serah 2 pegawai gagal lepasi ujian urin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sendiri dua pegawai mereka yang gagal melepasi ujian air kencing kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata, dua pegawai yang gagal melepasi ujian air kencing itu diserahkan kepada PDRM sebagai sebahagian kerjasama antara dua organisasi itu.

“SPRM menjalin kerjasama dengan PDRM bagi melakukan ujian rawak penyalahgunaan dadah. Ujian ini dikendalikan dengan bantuan PDRM membabitkan semua peringkat warga kerja SPRM di seluruh negara dimulakan di peringkat ibu pejabat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, 27 pegawai dan warga SPRM sudah melalui saringan ujian air kencing secara rambang sejak Oktober 2014 dengan bantuan Bahagian Narkotik PDRM Sentul dan Putrajaya bagi memastikan tiada penyalahgunaan dadah.

“SPRM menyerahkan dua pegawai dan warga kerja yang didapati positif dadah kepada polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, SPRM yang sedang melaksanakan Program Transformasi secara holistik tidak berkompomi dengan pegawai yang terbabit dengan mana-mana pelanggaran integriti termasuk penyalahgunaan dadah.

Katanya, pengurusan SPRM juga mahu setiap pegawainya menjadi contoh pegawai berintegriti selaras dengan program integriti yang disediakan agensi itu menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme.

“SPRM turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama yang diberikan bagi mengendalikan ujian saringan air kencing itu. Kerjasama dengan PDRM bagi meningkatkan tahap integriti dan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM akan diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 7:45am
d