mutakhir

Harian Metro kekal akhbar harian Melayu terunggul

Kuala Lumpur: Harian Metro terus unggul sebagai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu negara dengan purata edaran sebanyak 313,690 naskhah sehari bagi tempoh Januari hingga Jun 2014.

Berdasarkan perangkaan terbaru dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulation (ABC) semalam, akhbar mingguan terbitan Kumpulan Media Prima Berhad, Metro Ahad pula mencatatkan purata naskhah dalam edaran sebanyak 328,700.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kajian iaitu dari Januari hingga Jun 2014, akhbar Berita Harian (BH) mencatatkan peningkatan jumlah edarannya kepada 125,514 berbanding 119,163 yang direkodkan separuh tahun kedua 2013 (Julai hingga Disember).

Utusan Malaysia pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak 171,663 naskhah, manakala Mingguan Malaysia 360,919 naskhah. Akhbar Kosmo pula merekodkan penurunan kepada 197,202 naskhah berbanding 205,999 tahun lalu, manakala Kosmo Ahad 208,435 (214,837).

Bagi akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) mencatatkan purata jualan sebanyak 74,711, New Sunday Times (85,282), The Star (291,068), Sunday Star (293,195) dan The Edge (23,635).

Disiarkan pada: November 28, 2014 @ 7:48am
d