mutakhir

Tipu pembeli

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Pelbagai selipar berjenama ‘Fipper’ tiruan yang dianggarkan bernilai RM3,500 dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, di tiga premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK, Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, 262 selipar dirampas selepas menerima aduan daripada wakil sah pengeluar jenama itu.

Menurutnya, semasa diserbu, ketiga-tiga premis itu menjual selipar berkenaan dengan mempromosikan potongan harga seakan-akan ia produk tulen.

“Melalui pemantauan, semua produk selipar berkenaan sukar dibezakan kerana ia mempunyai corak sama dengan asli.

“Bagaimanapun, kehadiran wakil pemilik cap dagang membantu mengenal pasti produk tiruan jenama itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat sama ada produk terbabit diimport ataupun dikeluarkan kilang tempatan sebelum dipasarkan di negara ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 4:56am
d