mutakhir

'Latihan' praktikal lerai motosikal

Segamat: Alasan seorang lelaki kononnya dia berlatih meleraikan motosikal kerana sedang belajar menjadi seorang mekanik gagal melindungi kegiatan jenayah curi motosikal yang dilakukannya ketika beberapa anggota polis datang ke rumahnya di Bekok di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa kononnya dia sedang mengasah kemahiran meleraikan komponen motosikal kerana mahu menjadi seorang mekanik sebelum membuka bengkel sendiri.

Namun, apa yang tidak diketahui lelaki berkenaan, kehadiran anggota polis terbabit ke rumahnya kira-kira jam 1 tengah hari itu adalah susulan satu laporan kehilangan motosikal jenis Honda EX5 yang diterima Balai Polis Bekok beberapa jam sebelum itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan M Anuar Ismail berkata, seorang lelaki berusia 20-an membuat laporan polis apabila menyedari motosikalnya hilang dari rumahnya di sebuah taman perumahan di sekitar Bekok.

Katanya, berdasarkan laporan itu beberapa anggota polis dari Balai Polis Bekok melakukan rondaan mengesan motosikal berkenaan sebelum menjumpai seorang lelaki sedang sibuk meleraikan enjin serta komponen sebuah motosikal berwarna merah mirip seperti dilaporkan hilang itu.

“Ketika ditanya, lelaki itu mendakwa sedang menjalani latihan praktikal meleraikan komponen motosikal kerana ingin belajar menjadi seorang mekanik berkemahiran selain mahu mencuci tangki minyak yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Namun, ketika ditanya lebih lanjut bagi membuktikan motosikal itu miliknya, lelaki itu gagal berbuat demikian kerana tidak tahu nombor pendaftaran motosikal itu selain mengatakan warna kenderaan itu adalah hitam sedangkan sebenarnya ia berwarna merah,” katanya.

Katanya, suspek kemudian dibawa balai polis dan berdasarkan siasatan dia dipercayai sedang khayal kerana mengambil dadah berdasarkan penemuan peralatan menghisap dadah di rumahnya.

“Suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A kerana curi kenderaan dan turut tidak menolak kemungkinan suspek bertanggungjawab dalam kes kecurian motosikal yang dilaporkan di daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 5:02am
d