mutakhir

Optimis pertingkat kualiti

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) optimis mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi mencapai kepuasan pelanggan dengan memperkenalkan Perkhidmatan Telefon Mudah Alih mySYABAS, semalam.

Aplikasi berkenaan menjadi platform bagi pengguna berinteraksi dan mendapatkan maklumat berkenaan bekalan air terawat yang boleh diakses oleh pengguna melalui telefon mudah alih.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd Tan Sri Rozali Ismail berkata, aplikasi berkenaan untuk kemudahan pemegang akaun di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Pengguna boleh mengakses aplikasi mySYABAS untuk membuat aduan atau maklum balas, mendapatkan maklumat gangguan bekalan, semakan bil air dan juga berita terkini berkenaan bekalan air.

“Dengan pelancaran mySYABAS ini, pengguna kini mempunyai akses alternatif untuk berhubung selain menggunakan talian PUSPEL,” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi berkenaan, di sini, semalam.

SYABAS turut melancarkan aplikasi Portal Perkhidmatan Pengguna SYABAS (PPPS) yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran serta kemahiran kakitangan SYABAS sendiri.

Rozali berkata, kedua-dua inovasi itu inisiatif SYABAS dalam meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan dan keselesaan yang tinggi kepada pengguna semasa berurusan dengan kami.

Menurutnya, antara perkhidmatan ditawarkan menerusi portal ini adalah permohonan bekalan air baru, pertukaran hakmilik atau permohonan semula bekalan air, penutupan akaun serta pemulangan deposit kepada pemegang akaun.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 5:10am
d